
Cabaran empat gelanggang
Date 2006/9/1 17:01:45 | Topic: Selangor
| CABARAN besar menanti 128 pasukan yang menyertai Karnival Futsal IM Harian Metro 2006 kerana mereka bakal beraksi di atas empat permukaan padang berlainan jenis sepanjang hari pertandingan, 17 September ini.
Gelanggang kejohanan, Rio de Futsal, menyediakan lapan gelanggang bertaraf antarabangsa yang kosnya hampir mencecah RM1 juta tetapi yang menariknya permukaan padangnya berbeza. Empat daripada lapan gelanggang itu menggunakan permukaan jenis twisted grass, dua long grass dan masing-masing satu taraflex lagoon serta maple.
Pengarah Rio de Futsal, Mohd Idham Muhammad, berkata perbezaan permukaan gelanggang itu akan memberikan pengalaman baru kepada pemain yang belum pernah mengujinya.
“Perbezaan jenis permukaan gelanggang akan memberikan pengalaman baru kepada pemain yang belum pernah mengujinya tetapi pada masa sama, mereka tetap berasa selesa bermain di atas semua permukaan itu.
“Bagi pemain Karnival Futsal IM Harian Metro 2006 yang belum pernah ke Rio de Futsal, mereka mungkin boleh menggunakan kesempatan masa yang ada untuk menguji gelanggang kami dengan berlatih di sini.
“Langkah ini membolehkan mereka membiasakan diri dengan keadaan gelanggang sekali gus mengatasi masalah lambat menyesuaikan diri pada hari kejohanan,” katanya.
Rio de Futsal yang mula beroperasi dua tahun lalu berpengalaman luas menjadi tuan rumah kepada pelbagai kejohanan besar dan korporat termasuk anjuran Telekom, Exco Pemuda Umno, Bernas, Astro, Hicom dan Proton.
Berpangkalan di Subang Jaya, Rio de Futsal turut menyediakan pelbagai kemudahan termasuk tempat meletak kenderaan untuk 110 kereta, surau, bilik mandi, kawasan lapang untuk rehat pemain dan majlis serta kafe untuk menjual makanan dan minuman.
Berdasarkan sambutan hangat ahli I-Metro, dijangka lebih 3,000 pemain dan penyokong mereka akan hadir pada Karnival Futsal IM Harian Metro 2006 yang kali pertama diadakan.
“Sebelum ini, kami banyak kali menjadi tuan rumah pelbagai kejohanan futsal dan berdasarkan pengalaman itu, saya yakin kami mampu memberikan perkhidmatan terbaik untuk semua peserta karnival,” katanya.
Rio de Futsal dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 2 pagi. Kadar sewa gelanggang sejam antara RM60 hingga RM120 bergantung kepada jenis permukaan gelanggang dan masa.
Begitupun, terdapat potongan harga istimewa sebanyak 50 peratus bagi pasukan wanita.
Ahli I-Metro boleh mendapat maklumat lanjut mengenai Rio de Futsal dengan melayari laman web, www.riodefutsal.com.my atau menghubungi talian 03-56387355/56388355.
|
|