
Malaysia gagal ke final Piala Tiger
Date 2005/1/5 15:00:39 | Topic: Tiger Cup
| KUALA LUMPUR; Indonesia mara ke final bola sepak Piala Tiger selepas menewaskan tuan rumah, Malaysia 4-1 di pertemuan separuh akhir kedua di Stadium Nasional Bukit, Jalil, malam tadi. Kemenangan dengan agregat 5-3 itu membolehkan skuad bimbingan Peter Withe bertemu Singapura dalam final secara timbal balik yang diadakan pada 8 dan 16 Januari ini. Singapura mara selepas mengalahkan Myanmar dengan agregat 8-5.
Malaysia membuka jaringan menerusi Khalid Jamlus pada minit ke-28 sebelum Indonesia bangkit pada babak kedua untuk menghampakan tuan rumah yang menang 2-1 dalam pertemuan pertama di Jakarta minggu lalu.
Indonesia memperolehi gol menerusi Kurniawan Dwi Yulianto pada minit ke-59, diikuti Charis Yulianto (m-75), Ilham Jaya Kesuma (m-78) dan Boas Salossa (m-85).
Perlawanan malam tadi dicemari dengan beberapa kejadian tegang yang menyaksikan enam kad kuning dilayangkan oleh pengadil Kunsuta Chaiwat dari Thailand.
Kekalahan itu juga bermakna Malaysia gagal melayakkan diri ke final kejohanan buat kali kedua selepas kali terakhir melakukannya pada edisi pertama 1996 di mana skuad negara tewas kepada Thailand 0-1.
Perlawanan yang disaksikan 70,000 penonton termasuk kira-kira 10,000 penyokong Indonesia turut dicemari pergaduhan kecil antara kedua-dua penyokong pada awal babak kedua tetapi ia langsung tidak menjejaskan tumpuan 22 pemain di atas padang.
Terdahulu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyerahkan cek RM100,000 dari FAM untuk Tabung Mangsa Tsunami Malaysia kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
|
|